WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Unit HSS Engineers Raih Kontrak Perundingan Dengan Davao Transport

25/06/2025 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Syarikat bersekutu HSS Engineers Bhd (HEB), HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) memperoleh kontrak perundingan bagi Projek Pemodenan Pengangkutan Awam Davao di Filipina.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HEB berkata HSSI, sebagai sebahagian daripada usaha sama (JV), memeterai kontrak dengan Jabatan Pengangkutan Filipina bagi menyediakan perkhidmatan perundingan menyeluruh.

"Usaha sama itu akan menyediakan perkhidmatan meliputi pengurusan projek dan kontrak, kawalan risiko dan kualiti, pengurusan antara muka dan komunikasi, perlindungan alam sekitar dan sosial, kajian manfaat kepada ekonomi, sokongan tender dan pematuhan antirasuah.

Ia turut bertanggungjawab menyelia kerja-kerja awam menerusi semakan reka bentuk, pemantauan pembinaan, jaminan kualiti, keselamatan dan pengurusan kos, serta menguruskan perolehan bas diesel dan elektrik, yang merangkumi semakan reka bentuk, ujian, pemeriksaan, penyediaan tapak serta pentauliahan," katanya.

Nilai anggaran projek yang boleh diperuntukkan kepada HSSI adalah sebanyak US$4.54 juta (RM19.27 juta), merangkumi yuran profesional sebanyak US$4.01 juta (RM17 juta) dan perbelanjaan boleh dituntut sebanyak US$534,400 (RM2.27 juta).

Projek yang mengambil masa 42 bulan itu dijadualkan bermula pada Mei 2025.

HEB berkata projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 hingga 31 Dis, 2028.

“Projek ini tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pemegangan saham HEB dan akan dibiayai melalui dana dalaman serta/atau pinjaman luar,” kata syarikat itu.

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.

“Lembaga pengarah, setelah mempertimbangkan semua faktor berkaitan, percaya bahawa kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik HEB Group,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan