WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SMC Teruskan Legasi Mendiang Thambirajah, Bantu Pelajar B40 Dalam Pendidikan

24/06/2025 04:37 PM

PETALING JAYA, 24 Jun (Bernama) -- Sri Murugan Center (SMC) komited untuk meneruskan legasi mendiang Tan Sri M. Thambirajah dalam membantu pelajar golongan B40 mendapatkan pendidikan terbaik seterusnya membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Pengarah Bersama SMC Surain Kanda berkata legasi dan tunjuk ajar mendiang Thambirajah akan terus menjadi pedoman dalam intipati perjuangan SMC.

 Menyifatkan pemergian tokoh pendidikan itu satu kehilangan besar kepada masyarakat India di negara ini, beliau berkata SMC kekal teguh dengan perjuangan untuk membantu golongan B40 keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Untuk menjayakan hasrat itu SMC fokus dalam melaksanakan tiga perkara, iaitu yang pertama, pelajar dari keluarga B40 diberikan pendidikan; kedua, keluarga miskin diberikan bantuan sementara bagi menampung perbelanjaan harian; dan ketiga, melibatkan mencari pendapatan sampingan kepada keluarga B40," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada upacara penghormatan terakhir mendiang Thambirajah di SMC di sini hari ini.

Ahli keluarga, kenalan dan bekas pelajar dilihat mulai hadir ke SMC sejak 10.30 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang meninggal dunia pada usia 83 tahun, semalam.

Thambirajah menubuhkan SMC pada 1982 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan sahsiah masyarakat India di Malaysia.

Sementara itu, anak perempuan Thambirajah, T. Sumithra,  berharap legasi ayahnya akan memberi inspirasi kepada anak-anak muda India untuk bangkit membantu masyarakat.

“Legasinya perlu diteruskan meskipun beliau sudah tiada. Buat semua anak muda India di luar sana, saya berharap usaha beliau telah mencetuskan inspirasi kepada anda untuk melakukan lebih banyak lagi demi masyarakat India di Malaysia.

“Beliau pastinya akan dirindui, beliau bukan sahaja seorang ayah yang penyayang, malah sahabat karib saya. Saya berharap kita semua dapat meneruskan legasi beliau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan