WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Terengganu Cemerlang Atasi PNGK Kebangsaan

24/06/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Sejarah baharu tercipta dalam sistem pendidikan negara apabila keputusan Sijil Tinggi Persekulahan Malaysia (STPM) 2024 mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional tertinggi sebanyak 2.85 mata, tertinggi sejak mula dilaksanakan pada 1982. 

Lebih membanggakan, seramai 1,266 calon atau 3.06 peratus berjaya meraih PNGK 4.00, menunjukkan peningkatan sebanyak 150 calon berbanding tahun sebelumnya. 

TERENGGANU terus mengekalkan kecemerlangan apabila mencatat PNGK terbaik kebangsaan untuk enam tahun berturut-turut dengan merekodkan PNGK 3.12, berbanding 3.11 pada 2023 sekali gus mengatasi PNGK Nasional, 2.85.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata jumlah pelajar yang mendapat keputusan semua A penuh juga meningkat kepada 110 orang berbanding 79 pada STPM 2023.

"Pelajar Sekolah Menengah Sultan Ahmad Siti Asihah Othman dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2024 (Sains Sosial) peringkat negara," katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Terengganu 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu hari ini.

Di PAHANG, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Rahmin Mahasan memaklumkan sebanyak 82 calon mendapat keputusan tertinggi PNGK 4.00 pada tahun ini dan sebanyak 1,142 calon memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.00.

Beliau berkata bagi kategori Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut terpilih sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Keseluruhan Kebangsaan.

Anugerah Murid Terbaik Kebangsaan bagi kategori Terbaik STPM Aliran Sains disandang Liew Exuan dengan skor PNGK 4.00 dari SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan, manakala Roziana Tan Beng Hai dari SMK Tanjung Gemok, Rompin, menerima Anugerah Murid Orang Asli Terbaik Kebangsaan

Sementara di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata tujuh calon meraih keputusan 5A, manakala 167 calon mendapat 4A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Negeri itu mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan STPM 2024 dengan PNGK 2.95 melebihi PNGK kebangsaan, iaitu 2.85.

Di SABAH, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin berkata seramai 146 calon STPM mendapat Purata PNGK 4.00 berbanding 130 orang pada tahun lepas. 

Beliau berkata daripada 24 pejabat pendidikan daerah (PPD), sebanyak 11 PPD melepasi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Kebangsaan 2.85, manakala 13 PPD menunjukkan pencapaian melepasi PNGK negeri, iaitu 2.77 mata. 

Di KELANTAN, negeri itu menyaksikan 123 calon mendapat PNGK 4.0 berbanding 2023 dan seramai 56 calon memperoleh semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki dengan PNGK 4.0.

PERAK turut menunjukkan prestasi cemerlang dengan 106 calon mendapat PNGK sempurna dan Pengarah Pendidikan Negeri Safuan Raba'ai berkata seramai 3,057 daripada 3,088 calon STPM di negeri itu berjaya memperoleh keputusan lulus penuh.

Di KEDAH, seramai 98 calon atau 3.51 peratus calon yang menduduki pemeriksaan STPM 2024 memperoleh PNGK 4.00.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Fadil Long Mohamad berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan 0.91 peratus berbanding 2023, iaitu daripada 74 calon kepada 98 calon bagi 2024.

Di PULAU PINANG, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Yusof Shaari memaklumkan 95 calon memperoleh PNGK 4.0 dalam Peperiksaan STPM 2024, peningkatan 25 orang berbanding 70 calon pada STPM 2023.

Di SARAWAK, 92 calon berjaya mencatatkan PNGK 4.00 meningkat berbanding 88 calon pada tahun sebelumnya, manakala di PAHANG seramai 82 calon mendapat PNGK 4.00 pada tahun ini dan sebanyak 1,142 calon memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.00.

Sementara itu, di PERLIS Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Perlis Ahmad Sabri Mohamad berkata seramai 20 pelajar mendapat PNGK 4.00 dan tiada calon gagal selama lima tahun berturut turut.

Di MELAKA, PNGK pada tahun lepas meningkat sebanyak 0.07 mata kepada 2.88 mata berbanding 2.81 mata pada 2023.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) sebanyak 99.64 peratus atau 1,108 calon STPM pada tahun lepas mencapai keputusan lulus penuh dan layak mendapat sijil, meningkat 0.01 peratus berbanding 99.63 peratus pada 2023.

"Secara keseluruhan, sebanyak 13 daripada 17 sekolah di Melaka pencapaian 100 peratus lulus penuh pada tahun lepas dan pencapaian PNGK adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

"Selain itu, sebanyak 37 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu PNGK 4.0 pada tahun lepas berbanding 21 orang pada 2023," menurut kenyataan itu.

Keseluruhannya, sebanyak 526 calon berjaya mencapai PNGK 3.0 ke atas,berbanding 445 calon pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan