KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia dalam mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah.
“Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara.
“Maka itu kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.
“Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” kata Mohd Na'im.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS Forum Malaysia dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar, dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.
Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 mengetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial