WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Arab Saudi Bebas 47 Jemaah Haji Langgar Peraturan, Hanya Beri Amaran - Mohd Na’im

19/06/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kerajaan Arab Saudi membebaskan 47 jemaah haji Malaysia yang melanggar peraturan permit haji akibat ditipu ejen tempatan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau dimaklumkan kesemua mereka hanya diberi amaran berhubung kesalahan itu.

“Jumlah kita (jemaah haji) tak ramai jika dibandingkan dengan negara lain yang melakukan kesalahan. Kita (Malaysia) ada rekod baik sebelum ini.

“(Dakwaan) mengatakan kena denda sampai ratus ribu tiada dalam maklumat saya, tidak adalah (denda) itu. Bermakna kerajaan Arab Saudi memberi peluang dan peringatan sahaja,” katanya. 

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis di Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS Batu Muda di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan melepaskan jemaah haji itu berikutan rekod dan disiplin baik ditunjukkan jemaah Malaysia sepanjang melaksanakan ibadah itu.  

Mohd Na’im berkata banyak keistimewaan dan kelonggaran diberikan kerajaan Arab Saudi dalam melancarkan urusan haji jemaah Malaysia termasuk pemberian awal Kad Nusuk yang tidak dinikmati negara lain.

“Sebab itu, saya minta jangan disebabkan kesilapan kita buat, menghukum (bakal) jemaah haji lain,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga seharusnya menjadikan kes penipuan haji sebagai pengajaran dan hanya menggunakan saluran sah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sebelum ini, media melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen termasuk meredah laluan berbahaya untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi.

Pada April, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menetapkan hukuman terhadap individu dan pihak melanggar peraturan permit haji antaranya larangan memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan