KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Jenama aiskrim dan teh terkemuka Indonesia, Ai-CHA mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi ‘Rangkaian Kedai Aiskrim Paling Banyak Dibuka Dalam Setahun' dan 'Rangkaian Kedai Minuman Paling Banyak Dibuka Dalam Setahun’.
Sehingga kini terdapat sebanyak 300 cawangan Ai-CHA dibuka di Malaysia dalam tempoh 12 bulan dengan purata hampir satu cawangan baharu setiap hari.
Selain itu Ai-CHA turut menerima Anugerah Pilihan Pengguna 2025/2026 daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) yang disampaikan oleh Timbalan Presiden MTPN Profesor Jericho Tang Kit Wai.
Timbalan Pengurus Besar Ai-CHA Global Danny Tahardi berkata pengiktirafan berkenaan membuktikan komitmen mereka terhadap kecemerlangan dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang sangat kompetitif.
“Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami terus berusaha dalam mengekalkan kedudukan sebagai jenama dipercayai di pasaran tempatan antarabangsa,” katanya semasa majlis pengiktirafan MBR dan MTPN, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Ai-CHA Malaysia Vincent Ong berkata kejayaan luar biasa berkenaan merupakan hasil sokongan padu rakyat tempatan serta keberkesanan model francais Ai-CHA yang mesra pelabur.
"Ai-CHA berjaya berkembang ke pelbagai lokasi daripada bandar-bandar utama hinggalah ke kawasan yang kurang mendapat liputan jenama antarabangsa.
"Pengiktirafan yang kami terima ini mengukuhkan lagi komitmen Ai-CHA terhadap kualiti dan pertumbuhan pesat Ai-CHA didorong oleh model francais yang mesra pelabur, yang mana pelaburan permulaan adalah kurang daripada RM100,000,” katanya.
Setelah mencapai 300 cawangan, Ai-CHA kini merancang untuk memperluas operasinya ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar, khususnya di Malaysia Timur di mana permintaan pengguna tinggi dan kurang persaingan.
Ai-CHA yang kini beroperasi di sembilan negara turut merancang untuk memperkenalkan snek seperti ayam goreng dan kentang goreng di cawangan-cawangan terpilih, bagi membuka ruang baharu kepada jenama itu sebagai destinasi pilihan untuk snek kasual.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial