WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WHO Ulangi Gesaan Kemasukan Bantuan, Bahan Api Tanpa Halangan Ke Gaza

19/06/2025 08:05 PM

LONDON, 19 Jun (Bernama-Anadolu) -- Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemudahan kesihatan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza dan menggesa kemasukan bantuan dan bahan api ke wilayah yang dikepung itu tanpa sebarang halangan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, #Gaza, sedang bergelut untuk terus beroperasi di tengah-tengah tekanan berterusan dan kekurangan bekalan,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam hantaran di platform X lewat Rabu.

Beliau berkata hospital itu menerima lebih 300 individu yang cedera pada Selasa, dipercayai berpunca daripada dua insiden berhampiran lokasi pengagihan makanan bukan di bawah kendalian PBB yang menyebabkan 75 orang terbunuh termasuk 11 kanak-kanak.

Menurut beliau, seramai 590 pesakit kini sedang dirawat di hospital itu, hampir dua kali ganda kapasiti asal kompleks perubatan berkenaan.

“Hospital tidak dapat menambah kapasitinya disebabkan kekurangan ventilator, monitor, katil dan kakitangan,” katanya.

Ketua WHO itu menegaskan bahawa Kompleks Perubatan Nasser terletak dalam zon pemindahan, namun ramai petugas kesihatan tidak dapat sampai ke kemudahan berkenaan kerana bimbang akan keselamatan atau kekurangan bahan api untuk pengangkutan.

Tedros berkata WHO menghantar jumlah minimum bahan api pada Rabu, cukup untuk menampung operasi selama lima hari lagi, namun memberi amaran bahawa perkhidmatan akan mula dihentikan sekiranya tiada tambahan bekalan.

“WHO sekali lagi menggesa agar hospital dilindungi dan agar bantuan kesihatan serta bekalan minyak dapat memasuki Gaza dan diagihkan merentasi wilayah itu melalui semua laluan yang mungkin,” katanya.

“Masa semakin suntuk untuk menyelamatkan nyawa. Gencatan senjata!” tambah Ketua Pengarah WHO.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan