WILAYAH - SARAWAK > BERITA

20 Rakyat Korea Selatan, Keluarga Dibawa Keluar Dari Iran Melalui Jalan Darat

19/06/2025 08:13 PM

SEOUL, 19 Jun (Bernama-Yonhap) -- Seramai 20 rakyat Korea Selatan dan ahli keluarga mereka  dipindahkan keluar dari Iran melalui jalan darat dan selamat tiba di Turkmenistan susulan ketegangan yang semakin memuncak antara Israel dan Iran, menurut Kementerian Luar pada Rabu.

Menurut Agensi Berita Yonhap, seramai 18 rakyat Korea Selatan dan dua ahli keluarga warga Iran menyeberangi sempadan ke negara Asia Tengah itu pada pagi Selasa (waktu tempatan) menggunakan pengangkutan yang disediakan oleh kerajaan Korea Selatan.

Mereka tiba di ibu negara, Ashgabat, pada keesokan harinya, menurut kementerian itu.

Laluan darat sempadan timur yang dipilih oleh kerajaan itu sejauh kira-kira 1,200 kilometer dan perjalanan menaiki bas tanpa henti mengambil masa sekitar 16 jam, menurut seorang pegawai kementerian.

Satu pasukan tindak balas pantas dari Seoul turut berada di Turkmenistan untuk membantu usaha pemindahan.

Kira-kira 110 rakyat Korea Selatan dianggarkan berada di Iran setakat Jumaat lalu, ketika Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran.

Pegawai itu turut memaklumkan yang persiapan sedang dibuat untuk satu lagi operasi pemindahan.

Kerajaan Korea Selatan sedang mempertimbangkan beberapa pilihan bagi memastikan keselamatan rakyatnya di Timur Tengah, susulan ketegangan yang semakin meningkat selepas serangan udara besar-besaran antara Israel dan Iran.

“Melihat kepada pertukaran serangan ketenteraan yang berterusan antara kedua-dua pihak minggu ini, kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan rakyat, serta penutupan ruang udara Iran yang masih berlanjutan, kami memutuskan untuk membantu pemindahan rakyat kami keluar dari Iran melalui laluan darat,” menurut kementerian itu.

Operasi ini dijalankan ketika negara lain turut menutup kedutaan dan memindahkan rakyat mereka dari rantau berkenaan, sama ada untuk pulang ke negara asal atau berpindah ke negara berdekatan.

Kerajaan Korea Selatan juga menyediakan pengangkutan dan bantuan kepada 23 rakyatnya untuk keluar dari Israel melalui laluan darat ke Jordan.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan