PARIT BUNTAR, 19 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak berjaya merampas 1,742 bubu naga dianggarkan bernilai RM176,640 di perairan Kerian, Larut Matang dan Selama sepanjang tahun lepas.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata kesemua bubu naga itu berjaya dirampas menerusi Op Sayong pada Januari hingga penghujung Disember di kawasan Kuala Kurau, Kuala Gula, Kalumpang dan Bagan Panchor dekat sini.
Beliau berkata proses pelupusan bubu naga yang telah selesai mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah itu akan dimusnahkan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Kuala Kurau.
“Pada 2023 sahaja, Maritim Malaysia merampas 1,527 bubu naga (di perairan sama) dengan nilai RM110,000 dan kesemua kes rampasan ini dijalankan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
“Berlaku peningkatan pada setiap tahun kerana ia hanya perlu diletakkan di laut. Setiap pagi nelayan hanya pergi mengutip hasil dan meraih pendapatan lumayan berbanding teknik tangkapan ikan biasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Hairil berkata sepanjang tahun lepas, kes rampasan tertinggi yang dilaksanakan Zon Maritim Kuala Kurau adalah di kawasan Kuala Kurau sebanyak 19 kes, Kuala Gula/Kalumpang (16), Sangga/Terung dan Pasir Hitam (lapan) serta Tanjung Piandang (enam).
“Semua bubu naga itu dirampas di kedudukan berbeza dengan jarak dua hingga lapan batu nautika dari pantai oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan di sepanjang pantai sejauh 123 kilometer.
“Selain itu juga, dua tangkapan melibatkan dua warga asing telah dilakukan ketika pelaku sedang melabuhkan bubu naga dan mereka diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan agar tidak menggunakan peralatan khususnya bubu naga demi memastikan kelestarian ekosistem marin di perairan negara sentiasa terpelihara.
“Bubu naga yang melebihi dua injap itu tidak dilesenkan penggunaannya berdasarkan pekeliling semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.
“Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif. Penggunaannya juga telah mencetuskan konflik sosial dan pertelingkahan antara pengusaha bubu naga dengan pengusaha pukat hanyut dan pengusaha bot pukat tunda,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial