KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan bahawa Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) telah pun dimuktamadkan.
Beliau berkata Lembaga Pengasas itu akan dianggotai 12 orang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli bukan media.
“Pihak Majlis Media Malaysia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Chieng.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media negara.
Fahmi sebelum ini dilapor berkata MMM dijangka dapat diwujudkan dan memainkan peranannya bermula pertengahan tahun ini selepas selepas Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan di Parlimen Februari lepas.
MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan etika kewartawanan dipatuhi, sekali gus memperkasakan industri media di Malaysia.
Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.
Fahmi berkata Lembaga Pengasas MMM itu dianggotai Pengurus Besar Borneo Post dan Utusan Borneo Wong Yang Yong, Ketua Editor Daily Express Datuk Sardahthisa James; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran Jeyachandran dan Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail.
Ia turut dianggotai Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Teh Athira Mohamed Yusof; Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Ronnie Teo Teck Wei, Presiden Gerakan Media Merdeka Mohd Radzi Abdul Razak, Presiden Pertubuhan Media Tamil Malaysia S. Muthameez Manan dan Mohd Azmyl Md Yusof.
Anggota lain dalam Lembaga Pengelola MMM itu adalah tokoh akademi Gayathry S. Venkiteswaran, Celine Lim dan Terence Ooi Guan Tseng.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial