WILAYAH - SARAWAK > BERITA

16 Kali Terbaik Dunia, Airasia Pacu Nama Malaysia Di Persada Antarabangsa - Fadillah

18/06/2025 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Kejayaan AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-16 berturut-turut oleh Skytrax bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan operasi syarikat itu, malah memperkukuh kedudukan jenama tempatan Malaysia di pentas antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi catatan di laman Facebooknya berkata pencapaian berterusan itu mencerminkan kekuatan jenama tempatan kelahiran Malaysia yang telah mengubah landskap penerbangan serantau.

“Melalui keterhubungan yang mampu milik, AirAsia telah membuka pintu peluang baharu, memperkasakan komuniti serta merancakkan pertumbuhan dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perjalanan rentas sempadan.

“Perjalanan AirAsia menjadi bukti keupayaan inovasi, daya tahan dan aspirasi rakyat Malaysia serta memperlihatkan bahawa dengan wawasan dan iltizam, kita mampu membentuk masa depan penerbangan serantau dan global,” katanya yang turut mengucapkan tahniah atas pengiktirafan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes yang juga pengasas AirAsia menerusi kenyataan menyifatkan kemenangan selama 16 tahun berturut-turut itu sebagai begitu bermakna dan memberikan inspirasi untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengucapkan tahniah atas pencapaian tersebut kepada AirAsia atas gelaran Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax.

“Bukan sahaja hampir satu bilion penumpang telah diterbangkan, malah AirAsia turut membawa identiti Malaysia dan ASEAN ke pentas dunia.

“Pencapaian ini membuktikan kekuatan hubungan serantau dalam menyatukan masyarakat, memacu pertumbuhan dan kemajuan bersama,” katanya menerusi catatan di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan