WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Mahu Kerjasama ASEAN-GCC Henti Kekejaman Di Gaza

07/06/2025 12:25 PM

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu kerjasama lebih kukuh antara negara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), bagi menghentikan kekejaman Israel di Gaza.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha kolektif serantau dan antarabangsa itu penting, bagi menghentikan konflik yang berpanjangan tersebut sekali gus menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

“Kita telah sampaikan pandangan kita (menerusi kenyataan Wisma Putra), tapi ini bukan upaya satu negara. Seperti yang kita lakukan dengan negara-negara teluk baru-baru ini, ada kesepakatan.

“Jadi ASEAN, negara teluk dan kita dapatkan beberapa negara lain, supaya memberikan penjelasan dan tekanan yang keras kepada dunia supaya menghentikan (kekejaman Israel),” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang menggesa gencatan senjata segera di Gaza dan penamatan sekatan bantuan kemanusiaan.

Malaysia melahirkan rasa amat kesal dan kecewa terhadap kegagalan berulang kali UNSC untuk menerima pakai resolusi yang menggesa gencatan senjata serta-merta dan berkekalan serta penghapusan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis lepas, menegaskan kegagalan berulang Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan menangani satu daripada tragedi kemanusiaan yang paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, berikutan penggunaan kuasa veto sememangnya dikesali dan amat mengecewakan.

Dalam pada itu, Anwar berkata tindakan berterusan negara yang masih membekalkan senjata kepada Israel adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa.

“Sekadar kenyataan mereka mengecam, kemudian masih menghantar senjata, menjual senjata kepada Israel, itu hanya tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.

“Kita mengutuk keras, cari helah dari sisi diplomatik bagaimana boleh bantu perjuangan rakyat Palestin, (untuk dapatkan semula) hak-hak yang sahih termasuk di Gaza,” kata Anwar.

Sementara itu, dalam perbualan telefon sempena Hari Raya Aidiladha bersama pemimpin negara Islam termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Anwar berkata masing-masing menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan rejim Zionis. 

“Semua melahirkan sikap yang agak jelas... dan kita telah sepakat untuk terus runding, cari jalan untuk selesaikan masalah ini dengan seberapa segera mungkin,” kata beliau.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan