WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahmad Zahid, Fadillah Seru Umat Islam Hayati Makna Aidiladha

06/06/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sambutan Aidiladha sebagai simbol agung yang mengajar erti ketaatan, pengorbanan dan keikhlasan dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sambutan itu mengangkat kisah Nabi Ibrahim AS dan puteranya Nabi Ismail AS, dua insan yang menjadi lambang ketaatan dan pengorbanan tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT.

“Semoga semangat pengorbanan terus menjadi pegangan dalam setiap aspek perjuangan kita sama ada dalam keluarga, masyarakat dan juga dalam membangunkan negara tercinta ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mendoakan agar Aidiladha kali ini membawa ketenangan dan keberkatan buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang sedang diuji dengan pelbagai cabaran kehidupan.

“Kepada para jemaah haji sedang berada di Tanah Suci, kami titipkan doa agar ibadah kalian diterima Allah SWT dan pulang sebagai haji dan hajah yang mabrur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS bukan sekadar sejarah tetapi pedoman hidup yang mengajar bahawa setiap perjuangan ikhlas pasti mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Beliau berkata Aidiladha wajar menjadi ruang untuk menzahirkan solidariti dan kasih sayang sesama manusia, terutama kepada golongan memerlukan termasuk fakir miskin, selain mencerminkan semangat kebersamaan dan rahmah yang dituntut Islam.

“Semoga segala ibadah kita, haji, korban dan amalan lain diterima dan diberkati oleh Allah SWT. Sesungguhnya, tiada pengorbanan yang kecil di sisi-Nya jika dilakukan dengan niat ikhlas. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam hantaran Facebook.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan