KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Penyertaan semula AMMB Holdings Bhd sebagai konstituen utama Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susulan semakan separuh tahunan dijangka membawa sumbangan wajaran 2.7 peratus, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu mengekalkan sasaran KLCI pada akhir 2025 sebanyak 1,560 mata selepas perubahan tersebut.
AMMB pernah menjadi konstituen FBM KLCI dari 19 Dis, 2022 hingga 23 Jun, 2024.
“Kami menjangkakan potensi wajaran AMMB dalam KLCI adalah lebih tinggi, iaitu 2.7 peratus, berbanding dengan Hong Leong Financial Group (HLFG) yang hanya sekitar 0.7 peratus, sebahagian besarnya didorong oleh pegangan bebas AMMB yang lebih tinggi,” katanya.
Penyedia indeks FTSE Russell dan Bursa Malaysia mengumumkan keputusan pada 5 Jun hasil semakan separuh tahunannya untuk menggantikan HLFG dengan AMMB, selepas HLFG gagal memenuhi syarat kecairan minimum.
"Kegagalan HLFG memenuhi keperluan ini menyebabkan ia dikeluarkan daripada indeks penanda aras, mendorong penyertaan semula AMMB, yang merupakan saham berkapitalisasi pasaran terbesar di luar KLCI yang memenuhi semua kriteria kelayakan indeks, termasuk syarat kecairan dan pegangan bebas,” kata CIMB Securities.
Bank pelaburan itu turut menjangkakan pengurus dana akan menyusun semula portfolio mereka susulan perubahan dalam indeks FBM KLCI, FBM Mid 70 dan FBM Hijrah Shariah.
“Perubahan ini dijangka memberi manfaat kepada saham-saham yang baharu menyertai indeks, manakala saham yang dikeluarkan mungkin menghadapi tekanan jualan dalam jangka pendek.
“Analisis kami terhadap 13 saham yang dimasukkan ke dalam KLCI sejak Jun 2020 menunjukkan 10 daripada 13 syarikat mencatatkan prestasi harga saham yang positif, iaitu antara 0.3 peratus hingga 4.6 peratus, dalam minggu selepas tarikh kuat kuasa penyertaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial