KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata meskipun tindakan itu menerima sokongan 14 daripada 15 ahli Majlis Keselamatan, namun ini mencerminkan sikap tidak peduli terhadap konsensus global serta keperluan mendesak untuk menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.
"Alasan AS resolusi itu gagal mengaitkan gencatan senjata dengan pembebasan tebusan menunjukkan kepentingan geopolitik lebih diutamakan berbanding nyawa lebih dua juta rakyat Palestin yang majoritinya terdiri wanita dan kanak-kanak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada kecaman terhadap tindakan Hamas pada 7 Okt 2023, atau tuntutan perlucutan senjata dalam resolusi itu bukan alasan untuk menolak usaha menghentikan pembunuhan sembarangan dan pemindahan besar-besaran.
Gencatan senjata berkekalan ialah syarat asas kepada sebarang penyelesaian mampan terhadap konflik dan tidak sewajarnya dijadikan bahan tawar-menawar yang menggadaikan nyawa manusia.
Ahmad Fahmi berkata ABIM sekali lagi mengulangi bahawa sebarang usaha ke arah perdamaian mestilah berlandaskan prinsip keadilan, menghormati undang-undang antarabangsa, serta mengiktiraf hak asasi rakyat Palestin, termasuk hak menubuhkan negara sendiri dan hak untuk kembali ke tanah air mereka.
"Penggunaan kuasa veto yang berulang kali oleh Amerika Syarikat untuk terus melindungi Israel daripada dipertanggungjawabkan sekali gus menghakis kewibawaan institusi antarabangsa dan menyemai budaya bebas daripada hukuman terhadap jenayah perang," katanya.
Beliau berkata ABIM menyeru tiga tindakan utama, iaitu gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi menoktahi konflik dan melindungi orang awam di Gaza; mewujudkan mekanisme akauntabiliti antarabangsa untuk menyiasat dan mendakwa jenayah perang, termasuk serangan terhadap hospital, sekolah serta kem pelarian.
Masyarakat antarabangsa perlu lebih memberikan tekanan, khususnya dari negara majoriti Islam dan negara Selatan Global demi menuntut keadilan untuk rakyat Palestin dan menghentikan segala bentuk kerjasama dengan rejim Israel, termasuk bantuan ketenteraan dan ekonomi.
Menurut kenyataan itu, ABIM turut menyatakan komitmennya untuk terus menggerakkan solidariti antarabangsa dan menyokong usaha diplomatik kerajaan Malaysia melalui platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial