WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Strategi Visa Ketat Arab Saudi Berkesan, Pergerakan Jemaah Lebih Teratur – Izelan Basar

05/06/2025 07:35 PM

Oleh Massita Ahmad

MAKKAH, 5 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan strategi kawalan visa yang ketat oleh kerajaan Arab Saudi pada musim Haji tahun ini disifatkan sangat berkesan dan berjaya memastikan hanya jemaah sah dapat menunaikan ibadah Haji.

Fasilitator Media dan Ketua Delegasi Haji Media Malaysia 2025, Datuk Izelan Basar berkata, berdasarkan pemerhatiannya wujud perbezaan yang sangat ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini, terutama dalam pengurusan pergerakan jemaah ke Arafah.

Sebahagian besar daripada kira-kira 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia telah pun berada di Arafah untuk berwukuf pada Khamis (5 Jun).

“Daripada sudut peribadi, saya nampak perbezaannya jauh ketara. Kalau dulu, kita lihat orang berjalan kaki di tepi jalan, ada yang tidur, ada yang baring.

“Tapi tahun ini, dengan strategi dan formula yang baik oleh kerajaan Arab Saudi, saya langsung tidak nampak jemaah berjalan kaki. Setiap jemaah diwajibkan menaiki bas dan jika tidak, mereka akan ditahan,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Menurut Izelan, tindakan penahanan biasanya berlaku kerana individu berkenaan tidak mempunyai visa Haji yang sah. 

Langkah tegas itu dilaksanakan sepenuhnya melalui kempen “Tiada Haji Tanpa Permit” (No Hajj Without a Permit) yang dikuatkuasakan secara menyeluruh tahun ini.

Buat kali pertama, Pertahanan Awam Arab Saudi memperkenalkan penggunaan dron “Saqr” (Falcon) berteknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan dan memintas jemaah tanpa kebenaran, sebagai sokongan kepada kempen kerajaan itu.

“Saya nampak sistem ini sebagai satu kelebihan. Perjalanan jemaah nampak kemas, bersih, teratur dan boleh dirancang. Tidak seperti tahun-tahun lepas, yang mana ada jemaah tanpa visa cuba menyelinap masuk, tahun ini semuanya tersusun dan terkawal," katanya.

Beliau berkata laluan masuk ke Makkah kini disekat dengan sekurang-kurangnya empat sekatan jalan raya yang memeriksa dokumen perjalanan setiap jemaah satu persatu.

"Bayangkan nak masuk ke Makkah pun ada empat atau lima roadblock. Jemaah naik bas, kemudian setiap pemeriksaan diperiksa satu demi satu. 

"Selepas itu, data mereka diselaraskan lagi di "roadblock" berikutnya. Proses ini diulang bagi memastikan semua benar-benar mempunyai visa Haji.

"Kalau tiada visa, jangan harap boleh jalan kaki masuk. Memang akan ditahan. 

"Jadi, sistem ini jelas berkesan. Yang datang tahun ini memang betul-betul ada visa Haji," katanya lagi.

Selain kawalan visa, beliau turut memuji aspek pengurusan logistik dan keselamatan jemaah yang semakin baik.

“Tempat disusun kemas, pengiring pun teratur. Setiap bas ada pengurus yang mengatur pergerakan jemaah. Dari sudut media juga, Alhamdulillah, kami selesa dan mudah jalankan tugasan,” katanya.

Izelan yang mempunyai pengalaman lapan tahun menyelaras liputan media semasa musim Haji berkata, suasana tahun ini berbeza dengan tiada kesesakan trafik yang ketara, dan perjalanan jemaah lebih lancar dan tenang.

“Semua tersusun dengan baik. Jemaah yang datang awal pun diwajibkan naik bas dan diturunkan di lokasi ditetapkan. Saya harap lokasi lain seperti Mina dan Muzdalifah turut dikawal sebaik ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya mengenai kawalan visa ketika memasuki Masjidil Haram.

“Waktu nak masuk Masjidil Haram pun kena tunjuk visa. Dari situ kawalan sudah bermula. Orang yang ada niat tak baik atau tiada visa memang sukar melepasi pemeriksaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan para jemaah Malaysia supaya tidak terpedaya dengan tawaran palsu yang menjanjikan Haji tanpa visa sah.

“Saya nasihatkan semua supaya ikut prosedur yang betul. Dengan itu, mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan rahmat Allah untuk memperoleh Haji yang mabrur, Insya-Allah,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menetapkan hari wukuf 9 Zulhijah pada Khamis (5 Jun), manakala Jumaat sebagai hari raya Aidiladha bagi penduduk negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan