WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sambutan Hari TVET Negara Manifestasi Tekad, Komitmen Kerajaan Lahir Tenaga Kerja Dinamik

02/06/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun adalah manifestasi tekad dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya tahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan itu memperlihatkan perkembangan positif ekosistem TVET negara sebagai pemacu pembangunan modal insan serta menjadi platform yang menawarkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkenaan daripada pelbagai pihak.

Menerusi hantaran di X, Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata usaha yang dilakukan adalah bertepatan dengan kerangka Malaysia MADANI yang meletakkan agenda bidang berkenaan sebagai antara keutamaan.

Beliau berkata ini termasuk peluasan akses Pendidikan TVET kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia yang ingin membina kerjaya masa hadapan melalui kemahiran.

“Malah (dengan) sokongan padu pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti, TVET akan kekal sebagai teras utama dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menjemput orang ramai memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Tema sambutan pada tahun ini ialah 'TVET Pilihan Utama Kerjaya'.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan