WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Susulan Aktiviti Pembelian Saham Harga Rendah

04/06/2025 08:24 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan pada jam terakhir dagangan untuk ditutup lebih tinggi sedikit dipacu oleh aktiviti pembelian saham harga rendah dalam saham tenaga dan telekomunikasi pada sesi lewat dagangan, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sebanyak 4.72 mata atau 0.31 peratus kepada paras tertinggi harian iaitu 1,507.97 daripada 1,503.25 ketika ditutup pada Selasa sekali gus menamatkan penurunan berturut-turut selama enam hari.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.85 mata lebih tinggi pada 1,507.10 dan kemudiannya merosot ke paras terendah 1,501.11 pada awal dagangan. Dagangan pada sesi petang pula tidak menentu sebelum indeks kembali meningkat sewaktu ditutup.

Namun begitu, sentimen pasaran sedikit negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 494 berbanding 442 manakala 450 kaunter tidak berubah, 953 tidak diniagakan dan 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.40 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 3.04 bilion unit bernilai RM2.20 bilion pada Selasa.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan mencerminkan prestasi positif bursa serantau utama berikutan wujud spekulasi mengenai pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan China yang mungkin berhubung semula minggu ini bagi menjalankan sekali lagi rundingan perdagangan.

Pegawai Rumah Putih berkata Presiden Donald Trump akan berbincang dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping minggu ini.

Bagi bursa tempatan pula, Thong berkata kebimbangan yang berterusan terhadap ketegangan perdagangan dan kesannya terhadap ekonomi global menyebabkan pelabur kekal berhati-hati.

“Kami berharap rundingan di antara AS dengan China akan meredakan ketegangan serta meningkatkan sentimen dalam kalangan pelabur tempatan.

“Buat masa ini, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara 1,490 dan 1,520 sementara menunggu kemunculan pemangkin baharu,” kata Thong kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen kekal berhati-hati susulan laporan terbaharu Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi 2025 daripada 2.2 peratus kepada 1.6 peratus.

Penurunan unjuran itu, katanya berikutan alasan ketidaktentuan dasar dan kesan negatif daripada langkah tarif baharu yang diperkenalkan semula oleh Trump.

Ini termasuk pengisytiharan untuk menggandakan tarif AS ke atas keluli dan aluminium kepada 50 peratus berkuat kuasa serta-merta sekali gus menambah tekanan baharu ke atas pasaran global.

Mohd Sedek berkata walaupun terdapat pemulihan sederhana dalam indeks petunjuk pasaran, sentimen pasaran secara keseluruhan masih kekal berhati-hati.

“Aktiviti dagangan agak suram dengan jumlah dagangan menurun kepada 2.4 bilion saham daripada 3.0 bilion semalam, menandakan pelabur terus berhati-hati dalam tekanan global dan domestik yang berterusan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi menyaksikan kenaikan apabila Petronas Dagangan melonjak 96 sen kepada RM20.96, YTL Corporation meningkat 8.0 sen kepada RM1.88 dan CelcomDigi naik 14 sen kepada RM3.92.

YTL Power International dan Maxis masing-masing menambah 9.0 sen kepada RM3.29 dan RM3.65.

Dalam kalangan saham cergas, TWL menokok setengah sen kepada 2.5 sen, Tanco susut 1.5 sen kepada 98.5 sen, Gamuda berkembang 7.0 sen kepada RM4.66, NationGate turun 3.0 sen kepada RM1.43 manakala XOX Networks merosot setengah sen kepada 1.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.62 mata kepada 11,283.07, Indeks FBMT 100 naik 30.22 mata kepada 11,052.94 manakala Indeks FBM ACE berkurang 2.16 mata kepada 4,479.65.

Indeks FBM Emas Syariah bertambah 31.50 mata kepada 11,241.65 dan Indeks FBM 70 melonjak 26.83 mata kepada 16,168.99.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 4.78 mata kepada 17,757.85, Indeks Perladangan merosot 15.21 mata kepada 7,203.67 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.02 mata kepada 150.10 serta Indeks Tenaga pula meningkat 3.50 mata kepada 702.46.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.15 bilion unit bernilai RM1.83 bilion daripada 1.21 bilion unit bernilai RM1.90 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran pula turun kepada 967.10 juta unit bernilai RM118.58 juta daripada 1.50 bilion unit bernilai RM201.92 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 288.86 juta saham bernilai RM78.35 juta daripada 323.10 juta saham bernilai RM94.99 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 193.98 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (191.61 juta), pembinaan (104.48 juta), teknologi (129.41 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (86.14 juta), hartanah (187.72 juta), perladangan (216.54 juta), REITs (15.21 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (75.41 juta), penjagaan kesihatan (54.76 juta), telekomunikasi dan media (45.06 juta), pengangkutan dan logistik (15.81 juta), utiliti (34.15 juta) serta amanah perniagaan (600).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan