WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Affin Group Mula Sertai Pasaran Bon AS Dengan Terbitan Nota US$300 Juta

04/06/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Affin Group mula menyertai pasaran bon dolar AS dengan terbitan nota kanan tanpa cagaran dengan nilai nominal sebanyak US$300 juta (RM1.27 bilion) di bawah program nota jangka sederhana euro (EMTN) berjumlah US$2 bilion (RM8.46 bilion).

Menurut bank itu dalam kenyataan hari ini, terbitan itu susulan penubuhan program EMTN dan penarafan kredit antarabangsa pertama Affin baru-baru ini pada A3 (Stabil) daripada Moody’s Investor Services, Inc.

“Nota itu dinilai pada 105 mata asas (bps) berbanding hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh lima tahun, menawarkan kadar tetap sebanyak 5.112 peratus setahun dan diberi penarafan A3 (Stabil) oleh Moody’s Investor Services Inc, mengukuhkan profil kredit bank yang kukuh dan prospek yang stabil.

“Terbitan itu mendapat permintaan global yang tinggi, dengan permintaan pasaran akhir melebihi US$1 bilion daripada 67 akaun pelabur, menunjukkan lebihan langganan sebanyak 3.5 kali ganda,” katanya.

Menurut Affin, pengagihan dari segi geografi terdiri daripada 87 peratus kepada Asia, 11 peratus kepada Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) serta dua peratus kepada pelabur luar pesisir AS.

Katanya mengikut jenis pelabur, nota tersebut diagihkan sebanyak 72 peratus kepada pengurus aset, dana/insurans, 24 peratus kepada bank dan empat peratus kepada bank persendirian/lain-lain.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Group Datuk Wan Razly Abdullah berkata penampilan pertama bank dalam pasaran bon dolar AS merupakan satu perkembangan yang penting dalam strategi pasaran modal kumpulan yang menarik permintaan daripada pelabur global yang kukuh.

“Sambutan yang menggalakkan menggariskan keyakinan pelabur terhadap asas kami dan mengesahkan kredibiliti yang telah kami bina.

“Berdasarkan Pelan Affin Axelerate 2028 (AX28), kumpulan kekal komited untuk memanfaatkan nilai jangka panjang melalui perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab yang memberi impak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan