WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 10,000 Sertai Larian Wira LTAT 2025 Di Putrajaya

01/06/2025 11:36 AM

PUTRAJAYA, 1 Jun (Bernama) -- Lebih 10,000 peserta membanjiri Dataran Wawasan di sini malam tadi sempena penganjuran “Wira LTAT 2025 – Night Run” yang dianjurkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Acara larian yang julung kali diadakan pada waktu malam itu mengetengahkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (km) (Fun Run), 10km, dan 21.1km (Half Marathon), dengan tema “Demi Wira Kami.”

Edisi kali ini turut menarik perhatian apabila 22 orang kanak-kanak istimewa daripada Incredible Warrior Club menyertai segmen Fun Run 5km.

Larian itu juga dianjurkan untuk menyokong Kempen Tabung Pahlawan yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) bagi mengumpul dana membantu veteran ATM yang memerlukan, termasuk golongan uzur, kurang upaya serta warga emas yang hidup bersendirian.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata penganjuran larian santai tersebut bukan sahaja bertujuan menghargai pengorbanan anggota ATM malah menjadi platform untuk mendekatkan mereka dengan masyarakat awam.

“Salah satu cara paling mudah untuk merapatkan anggota ATM dengan rakyat adalah melalui acara larian seperti ini. Ia membuka ruang interaksi dan membolehkan orang awam lebih menghargai jasa anggota tentera,” katanya kepada pemberita pada acara tersebut semalam.

Mohammad Ashraf berkata jumlah pendaftaran rasmi direkodkan melebihi 10,000 peserta namun terdapat ramai yang hadir secara walk-in dan berlari secara tidak berdaftar termasuk ahli keluarga peserta, menjadikan anggaran keseluruhan peserta mencecah antara 11,000 hingga 12,000 orang.

Sementara itu, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, yang juga Ahli Lembaga Pengarah LTAT, berkata acara itu merupakan antara inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

“Saya mewakili warga ATM ingin merakamkan penghargaan kepada LTAT atas penganjuran ini. Tambahan pula, 1,000 penyertaan telah diberikan secara percuma kepada anggota ATM satu bentuk sokongan yang amat bermakna,” katanya.

Beliau berkata ATM melalui pelbagai cabangnya turut mengambil kesempatan untuk memeriahkan acara tersebut dengan mengadakan pameran serta membuka peluang kepada golongan belia untuk mendapatkan maklumat mengenai kerjaya dalam pasukan tetap dan simpanan ATM.

“ATM bukan sahaja benteng pertahanan negara tetapi masyarakat juga memainkan peranan penting dalam usaha ini. Sebab itu, kita tekankan konsep pertahanan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan