WILAYAH - SELATAN > BERITA

Dua Beradik Ditemukan Lemas Di Pantai Pulau Mentigi

02/06/2025 10:36 PM

MERSING, 2 Jun (Bernama) -- Dua beradik berumur 15 dan 13 tahun ditemukan lemas ketika mandi di pantai Pulau Mentigi di sini petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Nur Awatif Udaima Mohd Hisam dan adiknya Ahmad Uwais Al Qarni.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada 4.25 petang, sebelum bot PERKASA 44 diatur gerak ke lokasi kejadian. 

“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa pertama Nur Awatif Udaima ditemukan di lokasi mangsa lemas oleh komuniti berdekatan pada pukul 4.30 petang.

“Bot PERKASA 44 serta komuniti pulau kemudiannya meluaskan sektor pencarian dan menemukan Ahmad Uwais Al Qarni, hasil pencarian menyelam oleh komuniti pulau pada pukul 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Suhaizan berkata difahamkan keluarga mangsa pulang bercuti di kampung mereka di Pulau Tinggi dan jarak dari Pantai Mentigi ke Kuala Mersing kira-kira 19.17 batu nautika. 

Beliau berkata susulan itu, kedua-dua mangsa diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dibawa pulang ke Jeti Shahbandar bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit dan memaklumkan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat. 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan