WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bikerz Day Ipoh Tarik 50 Kelab Permotoran, 2,000 Penyertaan

31/05/2025 07:26 PM

IPOH, 31 Mei (Bernama) -- Penganjuran “Ipoh Bikerz Day At The Park” di Taman D.R. Seenivasagam di sini disertai 50 persatuan motosikal berkuasa tinggi tempatan selain dari Thailand, Singapura dan Indonesia sekali gus merancakkan agenda pelancongan di negeri itu khususnya bandar raya Ipoh. 

Pengerusi penganjur Abdul Salim Putera Ahmad Shibi berkata penganjuran kali pertama selama dua hari yang bermula hari ini telah menarik lebih 2,000 penyertaan pemilik motosikal berkuasa tinggi. 

"Menerusi program ini, ia secara tidak langsung mempromosikan bandar raya Ipoh kepada ahli-ahli permotoran untuk menjadikan Ipoh sebagai antara lokasi persinggahan mereka setiap kali melakukan jelajah.

"Acara ini berjaya menarik kunjungan orang ramai selain para ‘bikers’ ke negeri ini dan sudah pastinya merancakkan ekonomi di negeri ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Abdul Salim Putera berkata program anjuran iMil Global dan Sam Custom dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Tourism Perak dan Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang penganjurannya. 

Beliau berkata antaranya, pertandingan nyanyian untuk peserta dan orang ramai pada hari pertama, selain konvoi motosikal mengelilingi bandar raya Ipoh serta pameran permotoran, termasuk motosikal jenis Harley Davidson dan BMW

"Pada sebelah malam kita adakan konsert yang menampilkan Man Kidal, Teja serta barisan artis tempatan lain. 

"Hari kedua kita anjurkan pertandingan seperti tarik tali, lari dalam guni bertopi keledar dan mengimbang motosikal serta vendor makanan," katanya. 

Beliau berkata pihaknya yakin Ipoh Bikerz Day akan diteruskan pada masa akan datang kerana sambutan yang diberikan amat menggalakkan. 

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri dapat menjadikan program itu sebagai acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Perak. 

"Acara ini membantu usaha kerajaan negeri menarik kehadiran pengunjung ke Perak selain memberi limpahan penjanaan ekonomi kepada penggiat industri pelancongan," katanya. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan