MAKKAH, 2 Jun (Bernama-SPA) -- Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah mengaktifkan sistem penyejukan terbesar di dunia dengan kapasiti keseluruhan 155,000 tan penyejukan.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), sistem penyejukan ini bertujuan menyediakan suasana yang selesa dan menenangkan secara rohani kepada jutaan jemaah yang tiba dari seluruh dunia, sebagai sebahagian daripada persiapan intensif menjelang musim Haji 1446 Hijrah.
Masjidil Haram disokong oleh dua stesen penyejukan utama iaitu Stesen Shamiya dengan kapasiti 120,000 tan dan Stesen Ajyad dengan 35,000 tan, yang meliputi kawasan perluasan dan ruang besar di dalam Masjidil Haram.
Sistem ini mengekalkan suhu sederhana antara 22 hingga 24 darjah Celsius, menggunakan teknologi penulenan udara canggih yang menyingkirkan 95 peratus kekotoran bagi memastikan kualiti udara yang ideal untuk para jemaah.
Pihak berkuasa turut menjalankan operasi penyelenggaraan secara proaktif dan berterusan, termasuk penggantian alat ganti, jaminan keselamatan di lokasi kerja, serta pengurusan sumber yang cekap bagi memenuhi keperluan operasi tinggi sepanjang musim haji dan menyokong kemampanan perkhidmatan di dalam Masjidil Haram.
Pihak berkuasa menekankan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada visi menyeluruh yang bertujuan meningkatkan pengalaman jemaah serta menyediakan tahap keselesaan dan ketenangan tertinggi semasa menunaikan ibadah, khususnya dalam menghadapi cuaca yang boleh menjadi ekstrem pada waktu tertentu musim haji.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial