SUKAN > BERITA

Facundo Garces Benteng Tengah Baharu Skuad Harimau Malaya

02/06/2025 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Pemain pertahanan tengah Facundo Garces hari ini diumumkan sebagai muka baharu yang menyertai skuad bola sepak kebangsaan kendalian ketua jurulatih Peter Cklamovski.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan pemain berusia 25 tahun itu bakal membawa kualiti, pengalaman dan kepimpinan yang besar kepada Harimau Malaya yang dalam rangka mengukuhkan pasukan selain menjadi skuad yang diimpikan rakyat Malaysia.

“Garces pernah bermain di liga utama Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama Deportivo Alaves di La Liga, selain telah melengkapkan segala keperluan pendaftaran dan kelayakan, dan kini tersedia untuk dipilih oleh Cklamovski.

“Beliau adalah seorang pemain yang berperwatakan hebat, pertahanan yang tenang serta memiliki personaliti dan pengalaman tinggi. Beliau sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan membanggakan negaranya,” menurut kenyataan itu.

Garces turut meluahkan keterujaannya untuk mewakili Malaysia.

“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan luar biasa. Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan dan sokongan ikhlas daripada semua.

“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami. Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan Garces telah menyertai kem latihan pasukan dalam jendela perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan layak untuk beraksi pada perlawanan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, pada 10 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan