WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Guru Tadika Direman Disyaki Dera Kanak-kanak Guna Pen

31/05/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Seorang guru tadika direman enam hari hingga 5 Jun ini selepas disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menggunakan pen di sebuah tadika swasta di Kota Emerald, Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata wanita berusia 30 tahun itu ditahan pada 2 petang, semalam dan pihaknya turut merampas satu bekas berisi pen serta perakam kamera litar tertutup (CCTV) dari tadika terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sebelum itu, bapa mangsa menyedari terdapat kesan kecederaan di kepala anaknya ketika mereka berada di rumah kira-kira 10 pagi, Isnin lepas. 

“Mangsa beritahu kecederaan berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di tadika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Selayang sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala.

Susulan itu, beliau berkata bapa mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis pada 11.13 malam, Khamis lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Gombak 03-61262222.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan