BALIK PULAU, 1 Jun (Bernama) --Dua pendaki yang mengalami dehidrasi dan keletihan ketika mendaki di Taman Rimba Teluk Bahang, di sini berjaya diselamatkan pasukan bomba malam ini.
Mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun dan wanita berumur 34 tahun, dilaporkan menghubungi pihak bomba pada pukul 6.40 petang memaklumkan mereka berada dalam keadaan lemah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang segera digerakkan ke lokasi.
“Mangsa berkongsi lokasi mereka di Stesen 10, Taman Rimba Teluk Bahang menerusi aplikasi WhatsApp.
“Pasukan penyelamat mendaki ke lokasi dan menemui kedua-duanya dalam keadaan keletihan sebelum membawa mereka turun dengan selamat pada pukul 10.51 malam,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan lima anggota bomba.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial