WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Tokan Dadah, Rampas Hampir 70 Kg Ganja Di Taman Melawati

31/05/2025 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki tokan dadah dan merampas ganja seberat 69.82 kilogram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati di sini Khamis lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali berkata ketika pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemukan 66 ketulan bungkusan mampat ganja bernilai RM216,457 dalam sebuah kereta Toyota Vellfire.

Beliau berkata suspek berusia 44 tahun itu yang berperanan sebagai tokan dipercayai aktif sejak November lepas dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.

"Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mat Zani berkata pihaknya turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 ke atas motosikal jenis Ducati milik suspek dianggarkan bernilai RM29,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM245,957.

"Hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan lelaki itu kini direman tujuh hari hingga 5 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan