WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hati-Hati Strok Berdarah, Risiko Maut Sekelip Mata

06/06/2025 11:34 AM


From Balkish Awang

Dalam sekelip mata, sebuah keluarga kehilangan ketuanya apabila si ayah tiba-tiba mengalami strok berdarah seusai makan malam di sebuah restoran.

Baru berusia 48 tahun, Iskandar (bukan nama sebenar) memaklumkan isterinya yang dia terasa ingin muntah selepas selesai menikmati hidangan malam bersama-sama dengan empat anak mereka. Dia kemudian ke tandas.

Berkongsi kisah keluarga itu dengan Bernama, pakar perunding bedah otak dan saraf Dr Nor Faizal Ahmad Bahuri berkata selepas lebih 20 minit suami masih tidak muncul, si isteri meminta anak sulung mereka menjengah keadaan si ayah di dalam tandas. 

“Lelaki itu dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai, tidak sedarkan diri. Ketika tiba di hospital dia sudah berada dalam keadaan kritikal dan pemeriksaan CT scan menunjukkan berlaku pendarahan di dalam otak.

“Pesakit kemudian menjalani pembedahan namun meninggal dunia dalam tempoh 48 jam selepas itu,” kongsi  Dr Nor Faizal lagi.

Jelas pakar yang kini bertugas di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur itu, insiden tersebut berlaku terlalu pantas, menunjukkan betapa pentingnya seseorang yang mengalami gejala strok dibawa ke hospital dengan kadar segera.

 

APA ITU STROK BERDARAH

 

Amnya masyarakat hanya tahu tentang strok biasa, iaitu satu keadaan pesakit mengalami gejala seperti senget sebelah muka, percakapan tidak jelas dan lemah separuh badan. Namun, menurut Dr Nor Faizal, strok terbahagi kepada dua jenis.

pic-3

“Strok biasa dikenali sebagai strok iskemik yang berlaku apabila darah tidak sampai ke otak, manakala strok hemoragik pula melibatkan pendarahan spontan di dalam otak disebabkan oleh saluran darah di otak pecah dan seterusnya menjejaskan fungsi organ itu.

“Keadaan ini berlaku disebabkan saluran darah semakin nipis dan kebanyakan kes berpunca daripada tekanan darah tinggi,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, sekalipun mereka yang menghidap penyakit darah tinggi lebih berkecenderungan mengalami strok berdarah, penghidap diabetes, kolesterol tinggi dan perokok juga berisiko.

"Bagaimana hendak gambarkan situasi mengalami strok berdarah ini? Kita cuba bayangkan yang kita berada di stesen Kuala Lumpur Sentral, di mana ada banyak perkhidmatan tren yang berselirat merentasi stesen ini. Tiba-tiba berlaku ‘blackout’, gelap gelita. Semua perkhidmatan tren akan terhenti, lumpuh. 

"Begitu juga dengan individu diserang strok jenis ini. Pesakit akan terus pengsan dan ini berlaku dalam tempoh sangat pantas, beberapa saat sahaja," jelasnya.

 

KENAL PASTI TANDA

 

Justeru kata Dr Nor Faizal, amat penting bagi masyarakat mengetahui dan mengenal pasti tanda-tanda strok agar rawatan segera dapat dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah.

"Sebenarnya strok berdarah ini didahului dengan tanda-tanda strok biasa seperti keadaan muka menjadi senget, percakapan atau pertuturan pelat, hilang fungsi setengah badan (lemah separuh badan) dan kesemua simptom ini terjadi dalam masa yang sangat cepat," katanya.

pic-4

Beliau berkata seseorang boleh mengesan tanda-tanda awal terkena strok dengan berpandukan istilah “BE FAST” yang sebenarnya satu akronim.

“B merujuk ‘balance’ atau keseimbangan, iaitu seseorang itu akan mengalami kehilangan keseimbangan. Huruf ‘E’ mewakili  'eyes' (mata) yang menjelaskan kehilangan penglihatan atau kabur secara tiba-tiba.

“F pula ialah ‘face’ (muka), iaitu sebelah wajah seseorang itu jatuh atau mengherot secara tiba-tiba, sementara  ‘A’ merujuk ‘arm’, apabila individu tidak dapat mengangkat kedua-dua belah lengan yang menjadi lemah atau mengalami kebas,” jelasnya lagi. 

Huruf “S” pula merujuk pertuturan tidak jelas dan “T” ialah masa, iaitu perlu dikejarkan ke hospital secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan. 

“Lagi cepat pesakit mendapat rawatan, lagi banyak saraf yang dapat kita selamatkan,” katanya.  

 

RAWATAN STROK BERDARAH

 

Menurut Dr Nor Faizal, strok berdarah hanya boleh dikesan melalui CT scan kerana tanda-tandanya sama sahaja dengan strok lain.

“Namun dari segi rawatan, strok berdarah perlu dibedah segera bagi mengurangkan tekanan pada otak akibat limpahan darah yang berlaku secara tiba-tiba dalam pembuluh darah. 

"Cuba kita bayangkan dalam otak ada tabung yang berkapasiti menampung sejumlah tertentu sahaja. Tiba-tiba berlaku pertambahan darah yang kemudian akan menekan bahagian otak sehingga organ itu gagal berfungsi.

"Maka rawatan untuk prosedur strok berdarah ialah kita perlu buat pembedahan bagi mengeluarkan darah itu supaya tekanannya berkurangan. Strok berdarah ini berbeza dengan strok iskemik. Strok iskemik ialah keadaan darah tidak sampai ke otak dan hanya tersumbat. Jadi tidak akan berlaku penambahan darah dalam otak pesakit," katanya.

Oleh sebab itulah kata beliau risiko kematian lebih tinggi bagi pesakit strok berdarah berbanding strok biasa.

pic-2

Ditanya tentang pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan, Dr Nor Faizal berkata kes sedemikian berlaku berikutan persepsi bahawa strok hanya menyebabkan lemah atau lumpuh separuh tubuh.

"Namun  kita tidak tahu apa yang berlaku dalam kepala seseorang itu. Oleh sebab itu, jika pesakit berada dalam keadaan lemah, bawa dulu ke hospital untuk kita kenal pasti jenis strok yang dialaminya.

"Contohnya pesakit warga emas yang sudah lemah di rumah. Anak-anak pula bekerja dan hanya balik bila lewat petang. Ketika itu baru nak dibawa ibu atau bapa ke hospital, dan selepas sampai, pemeriksaan mendapati pesakit telah mengalami pendarahan otak. Pada masa itu sudah terlambat,” kata beliau.

Dr Nor Faizal berkata sekiranya pesakit strok berdarah berjaya diselamatkan, mereka biasanya berdepan risiko kehilangan fungsi tubuh sama ada secara ilat (kekal) atau separa kekal.

"Pesakit turut mengalami kesukaran untuk menelan, bercakap serta hilang tahap kesedaran. Komplikasi lain yang boleh berlaku selepas itu ialah pesakit mengalami jangkitan kuman pada paru-paru," katanya.

Menurut Dr Nor Faizal, berdasarkan pemerhatian beliau, strok lazimnya berlaku pada mereka yang berusia 40 tahun ke atas dengan kaum lelaki lebih berisiko berbanding wanita, kebanyakannya disebabkan oleh tabiat merokok.

“Bagaimanapun tahap kesedaran masyarakat tentang strok berdarah ini masih sangat rendah,” ujar beliau.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan