WILAYAH - TENGAH > BERITA

PTPTN Umum 4.05 Peratus Dividen Simpan SSPN Bagi Tahun 2024, Tertinggi Dalam Tempoh 10 Tahun

30/04/2025 05:13 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi 2024 sebanyak 4.05 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kadar itu adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata pemberian dividen itu melibatkan peruntukan berjumlah RM439.87 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 6.77 juta akaun pendeposit Simpan SSPN.

“Agihan dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai Jumaat ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sebanyak RM2.12 bilion sejak Simpan SSPN diperkenal pada 2004,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen SimpanSSPN 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapa Sakmud, Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Zambry berkata pemberian dividen 4.05 peratus bagi 2024 adalah lebih tinggi berbanding 3.60 peratus pada 2023. 

Beliau berkata pada 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima ialah RM3.17 bilion dan  lebih 500,000 akaun baharu direkodkan manakala keseluruhan deposit terkumpul yang diterima sejak 2004 hingga 31 Dis 2024 berjumlah RM20.56 bilion melibatkan 6.77 juta akaun.

“Peningkatan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal serta memberikan pulangan yang tinggi dan positif,” katanya.

Zambry juga berkata perkara itu melambangkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik.

Pada majlis sama, Zambry turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 yang bakal dinikmati oleh pendeposit yang membuat simpanan minimum RM1,000 dalam tempoh promosi bermula esok hingga 31 Julai ini.

Beliau berkata pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Dis 2021 layak menyertai kempen itu.

“Sebagai hadiah istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat penabungan dalam jangka panjang, PTPTN akan memberikan Ganjaran Kesetiaan sebanyak satu peratus sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan,” katanya.

Zambry berkata keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN turut disokong oleh pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan melalui instrumen simpanan serta ia merupakan produk simpanan tunggal yang memberikan keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan individu ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun. 

“Selain itu, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan dijamin oleh kerajaan dan patuh syariah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan