WILAYAH - SABAH > BERITA

Projek Tiga Fasa Esteel Bernilai RM31 Bilion Lambang Pencapaian Penting Ekonomi Utama Sabah - Hajiji

30/05/2025 04:58 PM

KOTA KINABALU, 30 Mei (Bernama) -- Projek tiga fasa bernilai RM31 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) melambangkan pencapaian penting Sabah berikutan ia berusaha meneroka peluang baharu dan merealisasikan potensi sepenuhnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek berkenaan akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Sipitang dan di seluruh negeri berkenaan.

“Saya mahu kesemua pemain industri akan membuat pelaburan dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja tempatan dan akan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kami terhadap pembangunan tempatan,” katanya.

Hajiji berkata demikian semasa majlis pelancaran projek fasa pertama Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk mengutamakan rakyat Sabah bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran dan ilmu yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri.

Hajiji menegaskan bahawa Sabah akan terus mengekalkan pendekatan mesra pelabur dan katanya Sabah telah melaksanakan dasar-dasar bagi menarik lebih banyak pelabur.

“Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi merangsang pelaburan dan menggalakkan kerjasama,” katanya sambil memaklumkan selain SOGIP, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut menunjukkan peningkatan kadar penyewaan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Berikutan permintaan pelabur yang tinggi, Hajiji berkata kerajaan negeri telah meluluskan tiga taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat melalui Taman Perindustrian Ekonomi Biru.

“Kami memahami betapa pentingnya mewujudkan persekitaran yang stabil, telus dan menyokong agar pelaburan akan berkembang maju,” kata Hajiji.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan