KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB) menjalin perkongsian strategik untuk memacu era baharu pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab di Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak itu berkata perkongsian berkenaan yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini, komited untuk mempercepatkan penerapan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan perniagaan, sekali gus meletakkan asas bagi peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
Mereka berkata MoU itu menyatukan mandat MIDA sebagai agensi utama yang mempromosikan pelaburan negara dengan kepakaran UNGCMYB dalam kemampanan korporat.
Katanya UNGCMYB memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan di Malaysia dan Brunei untuk sejajar dengan matlamat kemampanan global melalui penyediaan sumber, alat, dan panduan pakar yang penting.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama itu bertujuan mempertingkat usaha untuk menggalakkan kesedaran, membina kapasiti dan menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih meluas dalam inisiatif ESG, selaras dengan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang dilancarkan Ogos lalu.
“Memandangkan Malaysia bergerak ke hadapan dengan agenda Sifar Bersih 2050, kita dapat melihat komitmen nasional yang kukuh, kejelasan dasar dan minat pelabur yang semakin meningkat dalam sektor hijau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNGCMYB Faroze Nadar berkata MoU berkenaan merupakan langkah strategik ke arah mempercepatkan amalan perniagaan mampan di seluruh Malaysia.
“Dengan menggabungkan kekuatan kami dalam perkongsian ilmu dan pembinaan kapasiti ESG, kita dapat merapatkan jurang antara kesedaran dan tindakan yang nyata, sekali gus memastikan perniagaan bersedia untuk memenuhi matlamat pembangunan mampan serta permintaan pasaran yang semakin berkembang,” tambah beliau.
Kenyataan bersama itu menambah bahawa MoU berkenaan akan merangkumi inisiatif kerjasama yang memudahkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dalam program kemampanan, termasuk penganjuran bersama persidangan, meja bulat dan program-program pembangunan terpilih yang memfokuskan kepada ESG serta topik kemampanan yang lebih luas.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, MIDA turut mengumumkan perkongsian strategiknya dalam Forward Faster Symposium 2025 — program utama anjuran UNGCMYB yang dikhususkan untuk mempercepatkan kemampanan, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Jun, 2025 di ibu pejabat MIDA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial