WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Terima Dua Laporan Video Tular Gaduh Di Plaza Tol

31/05/2025 11:12 PM

NIBONG TEBAL, 31 Mei (Bernama) -- Polis menerima dua laporan berkaitan pergaduhan membabitkan dua lelaki di Plaza Tol Bukit Tambun, di sini selepas rakaman kejadian itu tular melalui media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan suspek terlibat sedang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS.

“Pihak polis telah mengesan video berdurasi 28 saat yang tular melalui media sosial memaparkan satu kejadian melibatkan perselisihan faham antara dua pengguna jalan raya di lorong teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Plaza Tol Bukit Tambun arah selatan sekitar 5.15 petang hari ini.

“Kejadian ini melibatkan pelanggaran kenderaan dari belakang yang kemudian menyebabkan pertengkaran, kerosakan harta benda serta dakwaan serangan fizikal dan ugutan jenayah oleh seorang daripada individu terlibat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata video berkenaan yang dirakam kamera papan pemuka kenderaan telah tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugut jenayah.

Terdahulu, tular satu rakaman video melalui media sosial memaparkan pertengkaran antara dua lelaki di Plaza Tol Bukit Tambun dengan seorang daripada mereka yang hanya berkain pelekat dan bertopi dilihat cuba menyerang menggunakan senjata sebelum kedua-dua mereka ditenangkan seorang individu yang berada di situ.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan