WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mohamed Khaled Sertai Dialog Shangri-La Ke-22 Di Singapura

30/05/2025 04:48 PM

SINGAPURA, 30 Mei (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Singapura pada Jumaat untuk menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 (SLD). 

Menerusi hantaran di Instagram, Mohamed Khaled berkata dalam rangka lawatan kerja tiga hari, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama rakan sejawat, termasuk dari Amerika Syarikat, Sweden, Perancis, Jepun, Australia dan Ukraine.

Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama Menteri Pertahanan baharu Singapura, Chan Chun Sing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan perutusan khas di SLD pada Sabtu.

Mohamed Khaled dijadualkan untuk mengiringi Perdana Menteri ke pertemuan bersama Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di Istana.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud, Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) Lt Jen Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Asisten Ketua Staf Operasi Latihan Pertahanan, Bahagian Operasi Latihan Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin.

SLD, dihoskan Singapura merupakan persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik. 

Tahun ini, persidangan itu akan disertai 47 negara, termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan serta tokoh akademik terkemuka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan