PENAMPANG, 30 Mei (Bernama) -- Agenda pembangunan di Sabah akan lebih berkesan dengan sokongan serta kerjasama padu antara kerajaan negeri dengan Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan dengan itu, beliau yakin hubungan yang kukuh dan erat dengan kerajaan Persekutuan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dasar-dasar pembangunan di Sabah.
“Ia (kerjasama) penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat secara langsung," katanya berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas kehadiran beliau menyempurnakan perasmian sambutan Pesta Kaamatan, yang disifatkannya sebagai bukti komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Sabah.
Beliau berkata Pesta Kaamatan tahun ini yang membawa tema “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan” menandakan sambutan ke-65 sejak ia diperkenalkan secara rasmi pada 1960.
“Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya, tetapi juga simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang perlu dipertahankan. Kaamatan bukan milik satu kaum semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sabah. Ia mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri ini," katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri kekal komited memperkasakan pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui pelbagai pendekatan strategik termasuk pemodenan pertanian, galakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan pelancongan komuniti.
“Usaha ini adalah antara teras penting dalam misi menjana kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan inklusif di bawah kerangka dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau berkata rakyat luar bandar perlu terus diberi peluang ekonomi sama ada melalui pertanian moden, pelancongan berasaskan komuniti atau latihan kemahiran.
"Hal ini bukan sahaja membolehkan mereka meningkatkan pendapatan, tetapi juga membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah. Pengaktifan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bertujuan menyokong keterjaminan makanan melalui peningkatan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras tempatan.
"Kita sasarkan 30 peratus tahap sara diri beras pada tahun depan dan 60 peratus menjelang 2030. Langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh bekalan makanan tempatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial