WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wei Chong-Kai Wun Kejutkan Aaron-Wooi Yik Untuk Muncul Juara Masters Malaysia

26/05/2025 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki negaraMan Wei Chong-Tee Kai Wun akhirnya menebus kekecewaan sebagai naib juara edisi 2023 apabila muncul juara Masters Malaysia 2025 selepas mengejutkan rakan senegara yang juga juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking kelapan dunia mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten untuk mencatat kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam pertembungan sengit yang berlangsung selama 50 minit.

Kejayaan itu menafikan impian Aaron-Wooi Yik untuk merekodkan gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand minggu lalu.

Pilihan kelima kejohanan itu tampil bertenaga seawal set pertama apabila mendahului 6-1 sebelum memanfaatkan siri kesilapan lawan, terutama di jaring, untuk menamatkan set berkenaan 21-12.

Namun, pasangan pilihan keempat, Aaron-Wooi Yik bangkit pada set kedua dengan permainan lebih kemas dan agresif untuk mengheret aksi ke set penentuan selepas menang 21-15.

Aksi set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua beregu terikat 8-8 sebelum Wei Chong-Kai Wun memperkemas permainan dan mempertahankan kelebihan untuk menang 21-16 dalam perlawanan berdurasi 50 minit.

Kemenangan itu menjadikan mereka beregu Malaysia pertama menjuarai kategori lelaki di Malaysia Masters selepas kali terakhir dicapai Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.

Lebih manis, ini adalah kemenangan ketiga mereka dalam lima pertemuan menentang Aaron-Wooi Yik serta gelaran kedua musim ini selepas memenangi Masters  Indonesia, Januari lalu.

Pada edisi 2023, Wei Chong-Kai Wun sekadar muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 24-22, 19-21.

Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai USD37,525 (RM159,000), manakala Aaron-Wooi Yik menerima USD18,050 (RM76,000) selaku naib juara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan