IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Perak FC menghentikan semua operasi berkuat kuasa serta-merta susulan kemelut kewangan yang membelenggu pasukan kelab itu.
Dalam kenyataan malam ini, pengurusan Perak FC memaklumkan bahawa pemain import telah dihantar pulang, manakala bayaran mengikut kemampuan dibuat kepada kakitangan dan pemain berdasarkan baki dana sedia ada.
“Semua kakitangan dan pemain dimaklumkan bahawa Perak FC tidak akan menyertai sebarang liga atau kejohanan musim depan. Pemain dan jurulatih kini bebas mencari peluang bersama kelab lain,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi kelab itu.
Menurut pengurusan, Perak FC memulakan operasi dengan melunaskan hutang sebanyak RM8 juta yang ditinggalkan pengurusan terdahulu serta memperuntukkan RM10 juta setahun bagi kos operasi.
“Setiap sen dibelanjakan bagi kos operasi dan pembayaran gaji membabitkan empat pasukan, jurulatih serta kakitangan pentadbiran pada musim lalu.
“Selepas tiga tahun atau dua setengah musim dengan pelaburan melebihi RM40 juta, kami dukacita memaklumkan tiada lagi dana berbaki untuk diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Pengurusan turut menjelaskan mereka masih menguruskan peralatan latihan pasukan dan baki barangan cenderamata (merchandise) untuk dijual, sambil menunggu dana daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi melunaskan komitmen tertunggak.
“Kepada pemain dan kakitangan, terima kasih atas segala jasa dan dedikasi sepanjang bersama Perak FC.
“Ini bukanlah penamat yang diharapkan, namun kami perlu berpijak di bumi nyata. Kekangan dana membataskan segala-galanya dan kini tiba masanya kelab ini ditutup,” menurut kenyataan itu.
Pada 22 Mei lalu, media melaporkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC tidak tersenarai dalam Liga Super musim depan selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan daripada MFL.
Sebelum itu, pada 26 April, Pengerusi Perak FC Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan pasukan The Bos Gaurus menarik diri daripada saingan Liga Super musim akan datang berikutan isu kewangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial