SEPANG, 25 Mei (Bernama) -- Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi tiba di sini hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Pesawat khas yang membawa delegasi UAE itu mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8.10 malam dan ketibaan beliau disambut oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebaik tiba, Sheikh Saud memeriksa kawalan kehormatan oleh 28 anggota termasuk pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Sheikh Saud mengetuai delegasi UAE bagi pihak Presiden negara itu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada mesyuarat peringkat tinggi, yang dijadualkan bermula esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mengiringi Sheikh Saud ialah Naib Pengerusi Pejabat Pelaburan dan Pembangunan Ras Al Khaimah, Sheikh Khalid bin Saud bin Saqr Al Qasimi, Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi, Menteri Negara UAE Ahmed Al Sayegh, dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar UAE Khalifa Shaheen Al Marar.
Turut sama dalam delegasi itu ialah ahli lembaga Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi Khalil Mohammed Sharif Foulathi, Duta UAE ke Malaysia Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri, dan Duta Besar UAE ke Indonesia dan ASEAN Abdullah Salem Al Dhaheri.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, yang kali pertama diadakan di Riyadh dua tahun lepas, berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama antara Asia Tenggara dan rantau Teluk.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang diadakan pada 26 dan 27 Mei di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, turut menyaksikan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
UAE, rakan kongsi ekonomi dan strategik utama bagi kebanyakan negara ASEAN, terus mengukuhkan penglibatannya dengan rantau ini melalui penyertaan peringkat tinggi dan diplomasi yang dipacu pelaburan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial