KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejayaan beregu lelaki kebangsaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjuarai Masters Malaysia 2025 sebagai pencapaian membanggakan dan mencerminkan masa depan gemilang sukan badminton negara.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasangan itu serta lawan mereka beregu senior Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul naib juara pada aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
“Persembahan hebat! Syabas! Pertembungan kali ini benar-benar memberi keterujaan kepada para penyokong yang menantikan pasukan mana akan membawa pulang gelaran juara Perodua Malaysia Masters 2025.
“Pencapaian ini amat membanggakan, bukan sekadar kejayaan di gelanggang, tetapi ia juga cerminan masa depan badminton negara yang semakin gemilang dan memberangsangkan. Teruskan melakar kejayaan!” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking kelapan dunia mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten untuk mencatat kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam pertembungan sengit selama 50 minit.
Kemenangan itu menamatkan penantian 12 tahun Malaysia selepas Goh V Shem-Lim Khim Wah menjuarai Masters Malaysia 2013.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial