WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nanta Ketuai Delegasi Malaysia Ke Korea Selatan

25/05/2025 01:29 PM

PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan mengetuai delegasi Malaysia ke Korea Selatan dalam rangka lawatan kerja rasmi bermula esok, sempena Sidang Mesyuarat Meja Bulat dan Forum Asia Pasifik Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2025.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan selain memenuhi jemputan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, lawatan kerja itu juga bertujuan meneroka potensi kerjasama, pemindahan teknologi ITS dan pembangunan infrastruktur berteraskan teknologi terkini.

Menurut kenyataan itu, Nanta selaku Pengerusi Majlis ITS akan menghadiri Sidang Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi pada 28 Mei di Suwon Special City, sempena Forum Asia Pasifik ITS 2025 pada 28 hingga 30 Mei di Suwon Convention Centre.

“Mesyuarat meja bulat ini turut dihadiri menteri dan pemimpin dari negara Asia Pasifik bagi membincangkan amalan terbaik dalam agenda memacu pembangunan ITS dan kelestarian sistem pengangkutan pada masa hadapan.

“Menerusi mesyuarat ini, setiap wakil negara dan pemimpin yang hadir mempunyai komitmen untuk mempererat hubungan kolaboratif di peringkat global dan merangka hala tuju pembangunan ITS yang lebih inklusif,” menurut kenyataan itu.

KKR memaklumkan penganjur menjangkakan lebih 10,000 peserta dan 196 pempamer akan menyertai Forum ITS Asia Pasifik Suwon 2025.

Menurut KKR, forum berkenaan merupakan wadah terbaik untuk menyebarluaskan visi dan strategi negara ke arah pencapaian agenda pembangunan mobiliti mampan menerusi pendayaupayaan teknologi ITS.

Pada masa sama, delegasi berpeluang berkongsi pengalaman dengan pemain industri global mengenai usaha mengarusperdanakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data besar sebagai penyelesaian terhadap isu mobiliti dan pengangkutan.

“Lawatan kerja ini diharapkan dapat memperkukuh lagi hubungan akrab Malaysia dan Korea Selatan yang telah lama terjalin sejak 1960, khususnya dalam bidang teknologi, infrastruktur dan inovasi pengangkutan pintar,” menurut kenyataan itu.

Korea Selatan merupakan rakan dagangan kelapan terbesar sepanjang 2024 dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencecah nilai RM109.34 bilion (USD23.94 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan