SUKAN > BERITA

SOJC 2025: Young Tigers Sasar Naik Podium

06/10/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Skuad hoki remaja kebangsaan menyasarkan kedudukan podium pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 11 hingga 18 Okt ini.

Ketua jurulatih kebangsaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata para pemain perlu menampilkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan berprestij peringkat bawah 21 tahun itu bagi menebus kekecewaan pada edisi lepas.

Beliau bagaimanapun mengakui matlamat utama skuad Young Tigers tidak hanya tertumpu kepada keputusan, sebaliknya peningkatan prestasi menyeluruh pemain.

“Tumpuan kami adalah terhadap prestasi, disiplin dan konsistensi pasukan sepanjang kejohanan. Sasaran kami ialah untuk berada di podium. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun cita-cita tinggi amat penting untuk membentuk pasukan yang positif dan berdaya saing.

“Saya mahu pemain keluar daripada kelompok pasukan biasa dan membuktikan mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan. Kunci kejayaan ialah keyakinan diri, mengelak kesilapan dan memanfaatkan peluang menjaringkan gol,” katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai skuad yang dibentuk, Nor Saiful berkata pemilihan dilakukan berdasarkan keupayaan pemain menyesuaikan diri dalam pasukan, semangat kesungguhan dan disiplin tinggi.

Bagi edisi kali ini, Nor Saiful antaranya menyenaraikan lima pemain berusia 21 tahun iaitu Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar, Muhammad Addy Jazmi Jamlus, Muhammad Handzalah Abdul Hadi, Mohammad Harris Iskandar Osman dan Yashvindraa Singaravadivel.

Beliau turut mengekalkan sembilan pemain yang beraksi pada tahun lepas antaranya Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof, Andywalfian Jeffrynus dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari.

SOJC 2025 yang mengumpulkan penyertaan enam negara termasuk Malaysia menjadi pentas penting dalam persiapan skuad remaja menuju ke Piala Dunia Remaja di India bermula hujung November ini.

Malaysia dijadualkan memulakan saingan berdepan Pakistan pada aksi sulung 11 Okt sebelum bertemu Australia (12 Okt), New Zealand (14 Okt), juara bertahan Great Britain (15 Okt) dan India pada 17 Okt.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara sulung kejohanan yang mula diperkenalkan pada 2011, selain menamatkan saingan selaku naib juara pada 2013 dan menduduki tempat keenam pada edisi lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan