SUKAN > BERITA

Semua Pemenang Pingat SOPMA 2025 Terima Insentif Kewangan Daripada Kerajaan Sarawak

06/10/2025 10:26 PM

KUCHING, 6 Okt (Bernama) -- Semua pemenang pingat bagi 51 acara yang dipertandingkan pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2025 menerima insentif kewangan daripada kerajaan Sarawak sebagai tanda penghargaan atas kejayaan dan semangat juang mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pemenang pingat emas menerima RM5,000, perak (RM2,000), manakala gangsa (RM1,000).

Beliau berkata langkah itu melakar sejarah penganjuran SOPMA dan mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memupuk semangat inklusif serta perpaduan nasional melalui sukan.

“Ia mencerminkan betapa besarnya jiwa seorang pemimpin bernama Abang Jo (Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang percaya sukan mampu menyatukan rakyat merentasi sempadan wilayah bahkan Laut China Selatan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan SOPMA 2025 di sini hari ini.

Fatimah berkata SOPMA bukan sekadar medan pertandingan tetapi juga simbol perpaduan dan semangat inklusif komuniti pekak di seluruh negara serta wadah memperkasa mereka untuk terus menyerlah di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

“Melalui sukan, kita membuktikan batas komunikasi bukanlah penghalang kepada kecemerlangan. SOPMA menjadi wadah untuk mengiktiraf keupayaan dan bakat luar biasa atlet pekak yang menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada temasya kali ini, kontinjen Sabah muncul juara keseluruhan dengan 17 pingat emas, 13 perak dan lapan gangsa, diikuti Sarawak di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga.

Sebanyak 14 kontinjen dari seluruh negara menyertai temasya yang berlangsung sejak 1 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan