Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MoU Pendidikan Tinggi Malaysia-Pakistan Platform Strategik Promosi Pendidikan Malaysia - Zambry

07/10/2025 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi yang dimeterai antara Malaysia dan Pakistan hari ini akan menjadi platform strategik bagi mempromosikan jenama pendidikan Malaysia di peringkat global.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerjasama yang digariskan dalam MoU itu merangkumi pelbagai aspek termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi maklumat, transformasi digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Melalui pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar dan pelancongan pendidikan, penyertaan pelajar Pakistan dalam program sedemikian membolehkan mereka mendapat pendedahan langsung terhadap sistem pendidikan Malaysia, memperoleh pengalaman pelbagai budaya yang mendalam, sekali gus membina kefahaman, toleransi dan empati rentas budaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam hantaran di Facebook berkata MoU dalam bidang pensijilan halal yang dimeterai menandakan kejayaan besar dalam memperkukuh ekosistem halal kedua-dua negara.

“​Insya-Allah, kerjasama ini akan melonjakkan lagi ekosistem halal kedua-dua negara dan memperluaskan pasaran produk halal di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Ad Banner

Mohd Na’im berkata MoU itu memfokuskan kepada pengiktirafan bersama sijil halal antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pakistan Halal Authority (PHA), sekali gus mengukuhkan integriti Halal Malaysia di peringkat global.

Selain itu, ia turut meliputi usaha membangunkan sistem halal global yang seragam dari segi standard dan prosedur, serta memperkukuh perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam aspek teknologi, pembangunan modal insan dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) halal.

Shehbaz dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Anwar.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan