SUKAN > BERITA

KBS Perkukuh Budaya Hidup Sihat Menerusi Malaysia Aktif

20/09/2025 01:57 PM

MELAKA, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh usaha membudayakan sukan menerusi program Malaysia Aktif sebagai platform nasional bagi menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di seluruh negara.

Timbalan Menteri berkenaan Adam Adli Abdul Halim berkata program itu merupakan kesinambungan daripada Fit Malaysia yang juga satu daripada flagship kementerian dengan wajah baharu bagi memastikan penyertaan rakyat kekal aktif bersukan.

“Malaysia Aktif ialah jenama terbuka yang boleh dianjurkan pada pelbagai peringkat, sama ada komuniti mahupun persatuan, dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri.

“Pelaksanaannya tidak terhad kepada penganjuran berskala besar sahaja, malah boleh dilaksanakan di kawasan perumahan atau kampung bagi memberikan ruang kepada semua lapisan masyarakat membudayakan gaya hidup sihat melalui sukan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Malaysia Aktif Melaka 2025@Parlimen Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh yang turut dihadiri Pengarah JBS Melaka Zailani Siran.

Adam Adli berkata program itu merekodkan penyertaan 800 peserta bagi acara Fun Run dan Fun Walk, manakala jumlah keseluruhan kehadiran dianggarkan mencecah 2,500 orang.

Antara pengisian lain ialah aktiviti pickleball, sukan tradisional seperti dam aji dan konda kondi, selain aktiviti lasak seperti memanjat tembok.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan