KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tidak bersetuju dengan cara layanan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), yang mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou berhubung isu ganjaran kejayaan Sukan Paralimpik 2024.
Hannah menerusi hantaran di akaun Facebooknya berkata Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin dan tindakan yang dilakukan atlet itu hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Paris, Perancis.
“Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri. Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri,” tegas Hannah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan MPM yang mahu mengenakan tindakan undang-undang terhadap atlet berkenaan selepas mendakwa organisasi itu sebagai ‘penipu’ menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan janji ganjaran Sukan Paralimpik 2024.
Hannah turut menyifatkan Liek Hou sebagai seorang atlet rajin dan sering mengangkat nama negara dengan kejayaan membanggakan di persada dunia.
Beliau berkata kehadiran penaja juga adalah kerana mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet dan bukan menaja MPM sahaja.
Terdahulu, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam sidang media menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap atlet badminton para itu selepas mendakwa badan induk berkenaan sebagai penipu kerana gagal melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas pada temasya sukan itu.
Megat D Shahriman berkata MPM juga mempertimbangkan untuk menggantung atlet berkenaan daripada menyertai sebarang temasya sukan yang berkaitan.
Menurut laporan media, Megat D Shahriman pada tahun lepas memaklumkan ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 seorang menanti atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya berprestij itu.
Habuan itu adalah insentif diberikan oleh tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas di Paris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial