Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- “Dahulu saya rasa takut, kini saya rasa semakin berani dan yakin.
Itu antara luahan Muhammad Hafian Mat Nor, 21, seorang daripada atlet yang mewakili Malaysia pada Pertandingan Badminton Asia Pasifik Olimpik Khas 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.
Muhammad Hafian yang didiagnosis menghidap diskalkulia mengakui berdepan pelbagai stigma masyarakat termasuk pernah disisihkan daripada menyertai sukan berkenaan kerana kekurangan dirinya pada awal penglibatan.
Namun, kini segala-segalanya berubah apabila dia melibatkan diri secara aktif dalam sukan itu, yang sedikit sebanyak membantu menambahkan keyakinan terutama ketika beraksi di atas gelanggang.
“Dulu kadang-kadang berdebar dan takut tapi sekarang saya rasa gembira.
“Saya juga berasa gembira kerana dapat membanggakan hati emak, ayah, pasukan dan rakyat Malaysia kerana dapat mewakili negara menerusi sukan badminton ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Presiden Olimpik Khas Malaysia Bong Koi Sin berkata kejohanan ini bukan sekadar pentas perebutan pingat, malah ia juga menjadi medan utama untuk membina keyakinan diri atlet kurang upaya intelektual dan perkembangan (IDD).
Beliau berkata cabaran terbesar atlet IDD bukan hanya di gelanggang tetapi juga dalam menepis stigma, diskriminasi dan pengasingan sosial.
Koi Sin berkata melalui kejohanan seperti itu juga, golongan berkenaan bukan sahaja berani tampil bersaing, malah turut diberi peluang membina jati diri, mengurus kehidupan seharian serta bergaul dengan masyarakat luar.
“Ia memberi keyakinan kepada para atlet untuk maju ke hadapan, sebab dalam Olimpik khas ini kami tidak menafikan hak setiap atlet itu.
“Setiap atlet itu diberi peluang. Jadi, itu adalah satu, kami sudah buka satu platform baharu pada atlet itu untuk maju ke depan,” katanya.
Pertandingan selama empat hari itu menghimpunkan 80 pemain termasuk 68 atlet IDD dan 17 rakan bersatu dari 10 negara Asia Pasifik seperti Bangladesh, India, Indonesia, Maldives, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura dan tuan rumah Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial