SUKAN > BERITA

Melaka Rancang Anjur Sukan Anak-anak Istimewa Tahun Depan

17/09/2025 11:40 AM

MELAKA, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Melaka bakal memperkenalkan penganjuran sukan khas untuk kanak-kanak istimewa bermula tahun depan, sebagai kesinambungan kepada program pembangunan sukan sedia ada.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk VP Shanmugam berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini, selepas Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta agar sukan khusus bagi golongan berkenaan turut dilaksanakan.

“Pelaksanaan program sukan itu akan memberi ruang kepada kanak-kanak seperti sindrom Down dan golongan kurang upaya lain menyertai pertandingan sukan yang sesuai dengan keupayaan mereka.

“Pada masa ini, Melaka telah menganjurkan tiga temasya utama iaitu Sukan Melaka, Sukan SUK (Sukan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Sukan Badan Beruniform. Justeru, mulai tahun depan, kami berhasrat untuk perluaskan dengan Sukan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas,” katanya di sini hari ini.

Shanmugam berkata kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan persatuan yang mewakili anak-anak istimewa bagi mengenal pasti acara sukan yang bersesuaian, selain mengumpul data peserta sebelum penganjuran rasmi dimulakan.

“Sebagai permulaan, kami rancang pelaksanaan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu dan sekiranya mendapat sambutan baik, ia boleh diperluaskan ke peringkat Parlimen dan seterusnya ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja akan menggalakkan penglibatan anak-anak istimewa dalam aktiviti sukan, malah membantu meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuh semangat inklusif mereka dalam masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan