KUCHING, 17 Sept (Bernama) -- Acara tiup sumpit yang sepatutnya dipertandingkan pada Sukan Borneo 2025 digugurkan berikutan kurang penyertaan daripada kontinjen yang mengambil bahagian.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun acara itu antara sukan tradisional yang dirancang untuk diketengahkan, hanya beberapa kontinjen berminat menyertainya.
“Kita memang merancang untuk mengadakan dua acara tradisional iaitu tiup sumpit dan tarik tali. Namun, disebabkan kurang sambutan, tiup sumpit tidak dapat diteruskan. Tarik tali tetap dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengambilan kit perlumbaan Kuching Marathon ke-10 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Sukan Borneo 2025 akan berlangsung dari 24 hingga 28 Sept ini dengan penyertaan kontinjen dari Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei serta Provinsi Kalimantan Timur.
Abdul Karim berkata bagi edisi kali ini hanya satu provinsi dari Indonesia akan menyertai iaitu Kalimantan Timur, manakala Kalimantan Barat tidak dapat mengambil bahagian atas faktor tertentu.
Antara acara yang dipertandingkan pada Sukan Borneo 2025 ialah olahraga, renang, badminton, memanah dan boling padang.
Sukan Borneo pertama kali dianjurkan pada 1995 dan kali terakhir diadakan pada 2013 di Labuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial