KUALA NERUS, 17 Sept (Bernama) -- Seramai 2,342 atlet dan pegawai dari 20 universiti awam seluruh negara berkampung di Terengganu bagi menjayakan Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 20 Sept ini.
Kejohanan dwitahunan itu menyaksikan 10 acara dipertandingkan termasuk bola tampar, bola tampar pantai, boling padang, sofbol dan petanque.
Acara lain ialah catur, pencak silat, taekwando, memanah dan karate yang berlangsung di dua lokasi utama di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam usaha meningkatkan mutu sukan negara termasuk melalui penganjuran serta penyertaan kejohanan sukan berskala tinggi, bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata KPT akan memberi sokongan penuh kepada pembangunan sukan di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang dilihat mampu meneruskan kecemerlangan prestasi atlet negara di peringkat tertinggi.
"Karnival Sukan MASUM merupakan platform terbaik untuk memperlihatkan kebolehan dan potensi mahasiswa bersaing di peringkat lebih tinggi seterusnya dapat mewakili MASUM dan negara ke peringkat antarabangsa.
"Di sinilah peranan universiti, MASUM dan KPT dalam memastikan kecemerlangan atlet tidak tersekat apabila memasuki IPT," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sukan MASUM 2025 di UMT malam tadi.
Turut hadir Naib Canselor UMT Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Fadzli Adam.
Azlinda turut mengucapkan tahniah kepada atlet MASUM atas kejayaan mereka pada edisi ke-10 Sukan Institusi Pendidikan Malaysia yang berlangsung dari 1 hingga 7 Sept lepas.
"Tahniah kepada kontinjen MASUM yang berjaya mengekalkan kejuaraan dengan kutipan keseluruhan pingat 42 emas, 27 perak dan 34 gangsa.
"Lebih menggembirakan, atlet MASUM iaitu Jonah Chang dari Universiti Malaya berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara lontar peluru," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial