SUKAN > BERITA

MESF Sasar Dua Emas MLBB Di Sukan SEA 2025

13/09/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menetapkan sasaran untuk memenangi dua pingat emas dalam acara Mobile Legends: Bang Bang berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Presiden MESF Muhammad Naim Al-Amin berkata dua pingat emas itu mampu dicapai berdasarkan senarai atlet yang dipilih melalui proses pemilihan teliti, selain pengalaman luas mereka beraksi di pentas antarabangsa.

Beliau berkata keyakinan itu juga dipacu oleh pelantikan ketua jurulatih Michael Bocado atau lebih dikenali sebagai “Arcadia” dari Filipina yang disifatkan sebagai antara terbaik di dunia.

“Pada Sukan SEA sebelum ini, pemain kurang (mendapat pendedahan) pertandingan antarabangsa. Namun kini apabila pemain kita sudah beraksi di peringkat lebih tinggi, kita berharap pengalaman dan kemahiran itu dapat diterjemahkan untuk membawa semangat baharu dalam pasukan Malaysia

“Selain itu, kita turut diperkukuh dengan sokongan kejurulatihan yang saya percaya antara terbaik di dunia,” katanya pada sidang media majlis memperkenalkan pasukan MLBB negara ke Sukan SEA 2025 di Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata penubuhan jawatankuasa pemilihan atlet yang antaranya melibatkan beberapa pemain industri membantu dalam mengenal pasti bakat terbaik untuk mewakili negara.

“Daripada jawatankuasa pemilihan juga kita dapat jurulatih walaupun agak sukar tetapi dengan bantuan MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akhirnya termeterai senarai penuh pasukan MLBB lelaki dan wanita,” katanya.

Sementara itu, pasukan lelaki MLBB negara diperkuat kombinasi Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (YumS), Hazziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Ealtond Rayner (Lolealz), Muhammad Danish Fitri Razman (Uni) dan Idreen Abdul Jamal (Momo).

Pasukan wanita pula dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Mohd Nizam (Shaa), Hanis Wahidah Mohamad Dashuki (Hanie), Queenie Lim Mae Shen (Qu1nn), Afrina Balqis Ibdhi Har Ali (Rinaa), Arfah Hazira Shahiruddin (Tiramisu) dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi (Aria).

Sebagai rekod, Malaysia belum pernah memenangi emas dalam acara MLBB sejak ia dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina.

Malaysia membawa pulang perak dan gangsa masing-masing dalam acara MLBB berpasukan lelaki dan wanita pada edisi 2023 di Kemboja.

Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkla.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan