KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Pemain skuasy negara Rachel Arnold beraksi cemerlang untuk menempah slot ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Mesir 2025 selepas menewaskan rakan senegara Aifa Azman dalam pertarungan sengit lima set di Giza malam tadi.
Rachel bangkit selepas tewas pada set pembukaan untuk mencatat kemenangan 3-2 (9-11,11-5, 11-5, 11-13, 12-10) dan akan berdepan pemain tuan rumah Salma Hany pada aksi seterusnya hari ini.
Terdahulu, adik kepada Aifa, Aira Azman mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menyingkirkan wakil Mesir Nadine Shahin 3-2 (6-11, 9-11, 11-3, 11-7, 11-3), sekali gus melayakkan diri ke pusingan kedua menentang pemain nombor tiga dunia Hania El Hammamy dari Mesir.
Bagaimanapun, cabaran Malaysia sedikit terjejas apabila Aina Amani tersingkir selepas tewas 2-3 (11-7, 11-5, 4-11, 8-11, 7-11) kepada pemain Scotland Georgia Adderley.
Sementara itu, pemain nombor satu negara S. Sivasangari yang mendapat bye pada pusingan pertama akan memulakan kempen pada pusingan kedua menentang Nour Heikal dari Mesir.
Dalam saingan lelaki pula, pemain harapan negara Ng Eain Yow akan membuka tirai saingan pusingan kedua berdepan wakil tuan rumah Kareem El Torkey.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial